Friday, September 3, 2010

Ramai akui ada pengalaman - ringan-ringan, raba-raba malah melakukan seks tanpa ikatan



Ramai akui ada pengalaman - ringan-ringan, raba-raba malah melakukan seks tanpa ikatan

2010/08/27/HM

AMPANG: Kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada 120 remaja di Lembah Klang mengakui pernah terbabit dengan aktiviti seksual sama ada melayari laman web pornografi mahupun melakukan seks luar nikah.
Statistik berkenaan hasil kajian rambang dilakukan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melalui program ‘Keindahan Bersamamu’ (KBM) yang dilaksanakan hampir 80 sekolah sejak 2008.

Pengurus Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga JIM Pusat, Faridah Maludin berkata, berdasarkan borang kaji selidik diedarkan kepada pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun menunjukkan mereka menerima pendedahan mengenai bahan pornografi melalui telefon dan Internet.

“Merujuk kepada kaji selidik berkenaan, kita dapat mengetahui masalah sosial utama di kalangan pelajar. Antara lima masalah utama membabitkan remaja ialah pornografi, alkohol, dadah, seks dan kumpulan samseng.

“Lebih mengejutkan golongan pelajar ini juga sudah pandai menggunakan istilah seperti seks ringan-ringan, raba-raba malah melakukan seks tanpa ikatan perkahwinan dengan lelaki yang lebih matang, ibarat suami isteri terutama pelajar perempuan.

“Apabila disoal tindakan mereka, menurutnya teman lelaki itu ikhlas sayangkan mereka, baik malah ada bermulut manis dengan menjanjikan akan menjalin ikatan perkahwinan jika berbuat demikian,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kebanyakan remaja perempuan berkenaan tertipu dengan perhatian diberikan teman mereka lantaran wujudnya konflik emosi akibat masalah keluarga.

Katanya, selepas masalah dikenal pasti, kes pelajar berkenaan akan dirujuk kepada pihak sekolah terutama peranan kaunselor bagi khidmat nasihat.

Mengulas mengenai pembabitan remaja dalam pornografi, katanya dia pernah menerima pengakuan daripada remaja perempuan bertindak mengambil gambar bogel sendiri untuk dikongsi bersama pasangan sebelum ia disebarkan di sekolah pelajar terbabit.

Selain itu, kebanjiran laman web dan video lucah di pasaran turut menjadi faktor utama kes jenayah dan seksual meningkat di kalangan remaja.

Sementara itu, Ketua Wanita JIM Kuala Lumpur, Dr Niekmah Adam berkata, perlu wujudnya sekatan untuk menghalang kemasukan pornografi di Internet dan media massa yang harus dilakukan kerajaan.

Katanya, perlu ada kebebasan menggunakan Internet, namun berhubung bahan lucah, beliau mencadangkan kerajaan menggunakan mekanisme bagi menyekat kebebasan melayari laman web lucah di kalangan remaja dengan cara bijaksana.

0 comments:

Blogged.my