Monday, January 3, 2011

MU lamar Khairul Fahmi?

MU lamar Khairul Fahmi?

KOTA BHARU - Populariti penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang membantu skuad negara muncul juara Piala Suzuki AFF, kini menjadi fenomena luar biasa.

Kerana kagum dengan aksi tangkasnya terutama ketika menyelamatkan penalti Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Jakarta minggu lalu, peminat amat berharap Khairul dilamar kelab bola sepak terkemuka dunia.

Malahan ada laman web yang menyiarkan laporan bahawa Pengurus Kelab bola sepak terkemuka dunia Mancester United, Alex Ferguson berminat untuk melamar penjaga gol Kelantan itu, bagi menggantikan penjaga gol utamanya Edwin Van Der Sar.

Sebuah laman web mirip laman web rasmi Manchester United, iaitu man-united.co.nr, menyiarkan laporan kononnya, selepas dua jam Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 buat kali pertama Rabu lalu, Ferguson mengarahkan pegawainya melamar Khairul Fahmi.

Laman web itu menyebut Khairul Fahmi merupakan individu penting membantu pasukan Malaysia menjulang kejuaraan.

Kecemerlangan dan ketenangan Kahirul Fahmi mengawal gawang gol Malaysia dengan menangkis setiap serangan yang dilakukan oleh Indonesia telah menarik minat pengurus kelab tersebut.

Ferguson melalui laman tersebut berkata, Khairul Fahmi adalah seorang pengaja gol terbaik yang pernah dilahirkan.

"Sekiranya dia (Khairul Fahmi) diberikan peluang untuk beraksi, dia mungkin sebaris dengan pengaja gol terbaik seperti Buffon (Italy), Cassilas (Sepanyol) dan Van Der Sar (Belanda).

"Van Der Sar merupakan salah seorang penjaga gol terbaik yang pernah kami miliki, tetapi apabila dia meluahkan hasrat ingin bersara, kami perlu seseorang penjaga gol dan dia (Khairul Fahmi) ialah calon terbaik masa ini," katanya.

Bagaimanapun, berita yang disiarkan oleh laman web tersebut didapati tidak benar, kerana ia bukan laman rasmi kelab tersebut.

Begitupun, ia tetap menimbulkan keterujaan bagi Khairul Fahmi.

Menurutnya, sekiranya benar beliau sememangnya teruja jika diberikan peluang untuk bermain dalam kelab tersebut.

Ini kerana katanya, beliau masih perlu bekerja lebih kuat sekiranya mahu berjaya seperti penjaga gawang terbaik dunia.

"Saya masih muda dan perjalanan masih jauh untuk menjadi hebat seperti Van der Sar atau pun Casilas,'' katanya.

Sebelum ini, Khairul Fahmi bukan sahaja menarik peminat baru ke akaun Facebook beliau, malah menempatkan dia pada kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia, bagi trend terkini rangkaian sosial Twitter.

Dalam tempoh sejam, penjaga gawang kelahiran Kelantan itu yang sebelum ini tidak begitu dikenali, meningkat secara mendadak ke tempat kelima, menumpaskan Support Tim nas, yang menyokong pasukan bola sepak Indonesia.

Fahmi juga menjadi topik paling popular untuk Twitter di Indonesia.

Laman Facebook beliau mendapat 57,000 hit daripada peminat kurang daripada dua jam, berbanding tidak lebih daripada 50,000 peminat sebelum perlawanan.

Sumber: Utusan Malaysia

1 comments:

Anonymous said...

menarik~

Blogged.my