Saturday, December 11, 2010

Pendedahan rahsia paling kontroversi

Pendedahan rahsia paling kontroversi




BERBANDING sebaran berita umum atau propaganda biasa, rahsia besar yang dibocorkan sebenarnya mengundang rasa ingin tahu yang lebih mengujakan. Pendedahan maklumat sulit seringkali disambut dengan persepsi yang pelbagai dan eksploitasi situasi demi mencapai matlamat tertentu.

Perkara itulah yang dikhuatiri berlaku dan akan merubah corak perhubungan diplomatik antarabangsa apabila sebuah organisasi media baru bukan berasaskan keuntungan, WikiLeaks, bertindak mendedahkan pelbagai maklumat berprofil tinggi ke pengetahuan umum.

Organisasi yang memaparkan dokumen sulit daripada sumber yang tidak diketahui dan maklumat Internet yang dibocorkan itu sudah mula menapak di dalam talian sejak tahun 2006.

Amazing things happen when you say Yes

Dikendalikan syarikat The Sunshine Press, laman itu mendakwa memiliki lebih 1.2 juta data sejak setahun pelancarannya. Pertubuhan itu mendakwa diasaskan oleh para penentang politik dari China, wartawan, ahli matematik dan pakar teknologi syarikat baru dari Amerika Syarikat, Taiwan, Eropah, Australia dan Afrika Selatan.

Aktivis Internet, Julian Paul Assange, 39, yang bertindak sebagai pengasas dan ketua pengarang WikiLeaks dipercayai mula mengendalikan laman web itu dari rumahnya berdekatan dengan Universiti Melbourne, Australia.

Sejak tahun pertama WikiLeaks beroperasi, wartawan dan penerbit berkelulusan doktor falsafah dalam bidang fizik tersebut tidak lagi mempunyai kediaman tetap dan sering berpindah-randah selepas laman web ‘panas’ ciptaannya itu telah memancing perhatian global.


PERJUANGAN kebebasan media Assange tetap diteruskan biarpun dia sudah ditahan atas dakwaan jenayah seksual.


Ternyata WikiLeaks mempunyai agenda. Ia sengaja mahu menyuluh wajah sebenar Amerika Syarikat (AS) melalui pendedahan dokumen-dokumen berkaitan tahap pengintipan Amerika ke atas sekutunya dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, WikiLeaks turut membuka pekung AS dengan mengetengahkan insiden pembunuhan penduduk dan wartawan Iraq oleh tentera AS. Negara yang digelar ‘Polis Dunia’ itu kini malu apabila masyarakat antarabangsa sudah mengetahui berhubung penafian ketiadaan laporan rasmi kematian orang awam.

Itu termasuk rekod yang menunjukkan bahawa 66,081 daripada 109,000 kematian di Iraq bukanlah disebabkan pertempuran.

Akhbar The Guardian yang menyiarkan kandungan WikiLeaks juga mendedahkan bahawa banyak laporan penderaan tahanan disokong bukti perubatan. Ia menggambarkan kes tahanan yang dirantai, ditutup mata, diikat pergelangan tangan atau kaki dan digantung malah dirotan, ditumbuk, ditendang atau dikenakan kejutan elektrik.

“Kerajaan AS dan beberapa pemimpin dunia lain menyifatkan pendedahan WikiLeaks tidak bertanggungjawab dan boleh membahayakan keselamatan negara masing-masing.

“Pentadbiran Presiden Barack Obama sedang mencari ruang untuk mengenakan tindakan undang-undang mengenai pembocoran maklumat WikiLeaks,” ujar Peguam Negara AS, Eric Holder yang cuba menutup kudis majikannya.

Tekanan agresif

Berikutan dimalukan, AS telah bertindak mengambil langkah agresif. Sebuah unit khas melalui Jabatan Pertahanan AS dibentuk bagi menyekat penyebaran meluas dokumen rahsia tersebut.

Tekanan mula dirasakan kumpulan operasi WikiLeaks apabila ia terpaksa memindahkan perkhidmatan hos Internetnya ke sebuah alamat baru di Switzerland selepas hos di AS ditutup.

WikiLeaks tidak mahu mengalah dan mahu kekal beroperasi. Malah, kini ia terus aktif melalui alamat barunya iaitu www.wikileaks.ch, laman web yang didaftarkan oleh sebuah parti politik Switzerland.

Sebagai tindakan susulan, Switzerland pula ditekan AS untuk mengarahkan institusi perbankan miliknya, Swiss Post, menutup akaun yang digunakan WikiLeaks bagi mendapatkan dana dan tajaan dalam talian melalui perkhidmatan PayPal.

Langkah berjaga-jaga

Sebagai langkah survival, sebuah lagi alamat Internet iaitu www.wikileaks.li telah ditempah WikiLeaks dan beroperasi dari Liechtenstein, sebuah negara Eropah kecil yang terletak di antara Switzerland dan Austria.

Selain laman web WikiLeaks menghadapi gangguan teknikal akibat serangan ‘askar’ penggodam yang diupah AS, Assange turut diugut bunuh dan yang mutakhir diburu polis atas pertuduhan mencabul dan merogol wanita.


ANTARA laman web WikiLeaks yang telah ditutup akibat digodam pasukan keselamatan upahan Amerika Syarikat.


Biarpun Assange akhirnya ditahan menggunakan Waran Tangkap Eropah pada 7 Disember lalu, pasukan WikiLeaks kini bersedia menggemparkan dunia dengan pelbagai dokumen yang diyakini bakal membawa gelombang dahsyat.

Sebagai jaminan untuk nyawa Assange, penyelenggara WikiLeaks menggesa komuniti dunia memuat turun sebuah fail bernama Insurance.

Maklumat dalam fail dengan kod rahsia itu akan disebarkan jika Assange dibunuh. Fail bersaiz hampir dua gigabit (GB) itu dikatakan menyimpan beribu-ribu dokumen rahsia AS yang boleh memalukan AS dengan negara-negara sekutunya.

Kemarahan dunia

Mengambil kesempatan ke atas kebocoran maklumat tersebut, Timbalan Menteri Luar Ecuador, Kintto Lucas berkata, negaranya sedia menerima pengasas Assange jika dia mahu tinggal di Ecuador.

Jika itu pelawaan Ecuador kepada Assange, AS kini berhadapan gelombang kemarahan daripada kerajaan-kerajaan asing yang dikritik AS dalam maklumat sulit tersebut.

Menteri Ekonomi Argentina, Amado Boudou pula mengulas, pendedahan WikiLeaks mengenai arahan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang meminta diplomatnya menyiasat keadaan kesihatan dan pengambilan ubat-ubatan Presiden Argentina, Christina Kirchner adalah suatu yang tidak wajar.

Bagi bekas pemimpin Cuba, Fidel Castro, pendedahan itu adalah satu ’skandal raksasa’ manakala Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani serta-merta memanggil duta AS selepas rahsia sensitif kedua-dua negara itu terbongkar.

Asange pernah dipetik sebagai berkata: “Negara yang tidak begitu telus seperti Rusia dan China adalah yang paling berpotensi menjalani pembaharuan melalui pendedahan maklumat rahsia ini.”

Mengenai kerajaan dan pasukan keselamatan China yang menyekat kebebasan bersuara, Assange mengulas, hanya kewartawanan dan penulisan sejati mampu mencetuskan perubahan dan itulah yang ditakuti pemerintah China.

Tarikan WikiLeaks

Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Azmi Hassan memberitahu, selain maklumat sulit AS yang menjadi intipati utama WikiLeaks, pendedahan lenggok bahasa yang digunakan para diplomat adalah satu lagi sebab ia popular.

Katanya, gaya penulisan laporan termasuk surat rasmi dan tidak rasmi daripada diplomat AS yang tidak menggunakan bahasa diplomat boleh menjatuhkan imej negara kuasa besar dunia itu.

“Misalnya, arahan Hillary Clinton yang meminta diplomatnya menyiasat hal peribadi khususnya keadaan kesihatan Presiden Argentina dan ubat-ubatan yang diambil beliau.

“Ia kelihatan sangat remeh dan sinis. Dari segi penggunaan bahasa, saya percaya ia tidak memperlihatkan profesionalisme seorang diplomat,” kata Azmi yang menganggap rahsia sebegitu tidak wajar didedahkan kepada umum kerana ia boleh memberi impak buruk kepada pemimpin dunia, bukan sekadar Amerika Syarikat.

Azmi menambah, apabila dokumen sulit kerajaan AS yang membabitkan hal peribadi diplomat lain atau kutukan langsung terhadap individu berpengaruh didedahkan, konotasi daripadanya memberi impak hebat.

Konsep hipokrit itu, menurut beliau, bertentangan dengan bahasa perantaraan yang cermat seperti yang diuar-uarkan di pentas ceramah AS. Namun, itulah yang menjadi tarikan unik WikiLeaks.

“Semua itu memimpin pembaca dunia untuk mengetahui lebih banyak isu yang dibocorkan. Orang tertunggu-tunggu kandungan seterusnya.

“Walaupun kebanyakan isu diketahui, kemampuan Wikileaks yang membawa terus dokumen rahsia ke mata pembaca menjadikan ia semakin digemari dan malah disokong oleh sesetengah pihak,” ujar Azmi.

Isu Malaysia

Satu lagi tarikan dari aspek pembaca Malaysia adalah penglibatan nama negara ini dalam kandungan dokumen-dokumen berprofil tinggi itu.

“Malaysia juga terkena tempias berikutan isu AS pada Februari 2009 melalui pejabat kedutaannya di Beijing meminta China menyekat sebuah firma negara itu daripada menjual giroskop panduan peluru berpandu kepada Electronics Components Ltd. yang berpangkalan di Malaysia.

“Ia menggambarkan seolah-olah kerajaan Malaysia tidak melakukan apa-apa sedangkan kerajaan kita mengetahui hal itu,” katanya merujuk kepada isu Malaysia yang turut dipetik dalam WikiLeaks.

Beberapa hari lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia melaporkan mempunyai maklumat mengenai dua firma Malaysia yang terlibat dengan rangkaian yang dikawal oleh Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China. Hal itu, bagaimanapun, tidak boleh diumumkan sehingga mendapat pengesahan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kes itu masih baru dan KDN akan mengambil pendekatan terbaik kerana ia melibatkan keselamatan dalam negara. Antara usaha yang dijalankan adalah dengan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi perisikan luar negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan KDN.


MELALUI pelbagai saluran media, orang ramai semakin tertarik untuk mengetahui isi kandungan fail rahsia yang belum didedahkan WikiLeaks.


Jelas Azmi, pendedahan isu-isu seumpama itu boleh memberikan gambaran yang tidak selamat sungguhpun banyak maklumat Amerika dibongkar melaluinya.

Walaupun pembaca melihat maklumat daripada WikiLeaks menelanjangkan tembelang AS yang bersifat talam dua muka, ia tetap mempunyai impak terhadap persepsi orang ramai seterusnya memberi kesan negatif kepada setiap negara yang dihubung kait.

Terus melawan

Meskipun nasib Assange masih belum diketahui, termasuk selepas kegagalan cubaan menjamin oleh golongan selebriti elit, peguamnya Mark Stephens berkata, Assange akan terus menentang ekstradisi yang disifatkan sebagai pengaruh luar terhadap Sweden.

Sehingga kini, sudah lebih daripada 1,300 laman web salinan WikiLeaks diwujudkan. Kumpulan penyokong tegar WikiLeaks juga berjanji akan terus beroperasi seperti biasa dengan kerjasama pihak tertentu di London dan dari beberapa lokasi rahsia lain.

Dalam pada itu, ribuan penyokong secara terang-terangan menjalankan demonstrasi bantahan dengan menyatakan bahawa penahanan Assange adalah satu pencabulan hak asasi dan kebebasan sivil.

“Sebarang perkembangan mengenai Assange tidak akan mengubah perancangan kami untuk terus melaporkan kebenaran dan mendedahkan maklumat seterusnya.

“Serangan keterlaluan yang sedang kami hadapi sebenarnya datang daripada firma-firma yang tunduk kepada tekanan AS. Saya menyifatkannya sebagai satu konfrontasi jelas terhadap kebebasan bersuara dan kebebasan media,” ujar jurucakap WikiLeaks, Kristinn Hrafnsson.

Sumber: KOSMO

0 comments:

Blogged.my