Keyakinan Membolehkan Malaysia Juarai Piala AFF Suzuki 2010
Oleh Ndari Rumiwidyawati
JAKARTA, 30 Dis (Bernama) -- Skuad "Harimau Malaya" akhirnya merangkul Piala AFF Suzuki 2010 setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 meskipun di awal pertandingan, ia tumbang 5-1 dengan pasukan tuan rumah menjadi pasukan pilihan bagi menjuarai pertandingan itu.
"Kami datang ke sini dengan berbekal tiga gol dari pertandingan di Bukit Jalil, sehingga di sini, kami penuh berkeyakinan dan optimis," kata jurulatih pasukan bola sepak Malaysia K. Rajagobal selepas perlawanan akhir kedua di sini Rabu malam.
Malaysia bangkit dari kekalahan awal pada peringkat kumpulan A, yang disifatkan Rajagobal akibat kesilapan anak buahnya.
Jurulatih yang sentiasa tersenyum itu berkata, beliau sentiasa yakin pasukan muda bimbingan mampu menjuarai pertandingan kali ini selepas menumbangkan juara bertahan Vietnam 2-0 pada peringkat separuh akhir pertama yang berlangsung di Malaysia.
Beliau memuji anak buahnya, terutama pemain barisan pertahanan yang mampu menghadapi serangan pasukan Indonesia yang disifatkan mempamer permainan baik.
Rajagobal juga bangga dengan gol "canggih" Mohd Safee Mohd Sali yang membakar semangat pasukan Malaysia dan sekaligus menyebabkan kekuatan mental pemain Indonesia terjejas.
"Saya puji para pemain, mereka memang berhak menjadi juara Suzuki AFF Cup ini," katanya.
Mengenai strategi permainan, jurulatih itu berkata beliau dapat membaca corak permainan pasukan Indonesia yang perlu menjaringkan empat gol tanpa balasan bagi merangkul kemenangan.
"Saya tahu Indonesia akan bermula dengan agresif dan serangan bertubi-tubi untuk menjaringkan gol, sehingga saya memberikan perhatian yang lebih agar pemain tidak memberi ruang kepada pemain Indonesia," katanya.
Di babak kedua, Malaysia tampil lebih agresif, walaupun Indonesia menjaringkan lebih banyak gol.
Sementara itu, jurulatih Indonesia Alfred Riedl turut memuji permainan anak didiknya, bahkan menurut beliau, babak pertama perlawanan akhir malam ini merupakan 45 minit terbaik yang pernah dipamerkan pasukan Garuda.
Pasukan "Garuda" memulakan pertandingan ini dengan persembahan yang sangat meyakinkan sehingga menjadi pilihan sebagai juara pada tahun ini.
Riedl berkata pemainnya tidak bernasib baik kerana mereka telah berusaha dengan baik selepas mempamerkan aksi buruk di Stadium Nasional Bukit Jalil pada perlawanan akhir pertama.
"Tahniah untuk Malaysia," kata Riedl.
Mohd Safee, penjaring gol terbanyak pula berkata beliau amat gembira dengan kejayaan Malaysia.
"Saya tak jangka menang pada kejohanan ini, dan syukur Alhamdulillah, saya dapat bantu menjaringkan gol pada malam ini," kata pemain yang dikhabarkan mendapat tawaran dari beberapa kelab bola sepak di Indonesia itu.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment