Keistimewaan ikan pemalu
  
 
  SEJAK Restoran Lucky di Ipoh, Perak beroperasi hampir tiga dekad  lalu, masakan berasaskan ikan kerapu antara sajian yang sering menjadi  buah mulut pelanggan.
 Selain digoreng cili kering, stim, sup dan tiga rasa, kerapu  disajikan istimewa bersama lebih 10 jenis bubur dan mi termasuk mi  wantan dan mi udon.
  Dua bulan lalu, restoran itu meraih perhatian rakyat Malaysia  apabila menyajikan seekor ikan kerapu gergasi yang boleh  dinikmati oleh  lebih 400 orang.  
 Ikan kerapu sepanjang 2.5 meter  dan seberat 148 kilogram itu dibeli  pengusaha restoran itu pada harga RM8,000 daripada seorang nelayan yang  berjaya menangkap ikan  gergasi itu di Pantai Remis.
 Ikan kerapu gergasi itu adalah yang kedua terbesar selepas ikan  spesies sama seberat 170 kilogram (kg) yang diperoleh daripada nelayan  sama kira-kira tiga tahun lalu.
 “Bagi menjamin mutu, kami hanya mendapatkan bekalan makanan laut  termasuk ikan kerapu secara segar pada setiap pagi daripada nelayan di  Pantai Remis yang terletak kira-kira 120 kilometer dari sini,” kata  pengusaha Restoran Lucky, Teoh Kar Hooi, 57.
 Kar Hooi memberitahu, masakan kerapu dijual pada harga RM110  sekilogram atau RM11 bagi 100 gram. Ia akan dimasak mengikut permintaan  pelanggan.
 
 
  Ujarnya, berbanding kerapu bersaiz biasa, permintaan terhadap kerapu gergasi bersaiz 100 kg ke atas lebih tinggi.
 Ia disebabkan tekstur lapisan antara kulit dan isi yang lebih kenyal dan manis hingga menjadi dambaan sesiapa yang memakannya.
 “Namun, ikan kerapu gergasi tidak boleh didapati selalu. Seingat saya  sepanjang 30 tahun restoran ini dibuka cuma lapan kali kami  menyajikannya.
 “Permintaan amat tinggi dan biasanya akan habis dalam jangka masa  lima hari sahaja termasuk kerapu seberat 170 kg. Kerapu bersaiz biasa  pula biasanya berjaya dijual hampir 8 kg sehari,” kata anak jati Parit  Buntar itu.
 Spesies
 Kar Hooi berkata, kecuali insang, sisik dan isi perut, hampir kesemua  bahagian dan organ kerapu gergasi boleh digunakan untuk masakan.
 Beliau menerangkan, bahagian ikan kerapu gergasi yang paling berharga  dan mendapat permintaan tinggi terutama di kalangan masyarakat Cina  ialah tulang belakang. Tulang belakang kerapu gergasi akan dikerat-kerat  kecil sebelum direneh dengan pelbagai herba Cina untuk dijadikan sup.
 “Cara memakannya, sum-sum yang terdapat pada tulang belakang itu akan  dihisap. Selain rasanya manis, orang Cina percaya ia mempunyai khasiat  perubatan yang tinggi.
 “Oleh itu, tak hairanlah ia sentiasa dicari biarpun harganya boleh mencapai RM200 semangkuk,” kata Kar Hooi.
 
SEORANG pekerja di Restoran Lucky di Jalan Pasir Puteh, Ipoh, Perak sedang menyiang ikan kerapu gergasi. 
  Ikan kerapu atau nama saintifiknya Epinephalus sememangnya sejenis ikan laut yang banyak mendiami perairan negara ini. 
 Di dunia, taburan ikan kerapu di kawasan semula jadi adalah sangat  meluas meliputi kawasan berbatu dan terumbu karang Asia Tenggara,  Australia, China, pantai timur Afrika dan Kepulauan Pasifik. Dianggarkan   terdapat hampir 100 spesies ikan kerapu di seluruh dunia.
 “Ikan kerapu yang mempunyai jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun memang boleh menjadi begitu besar. 
 “Saya pernah menyelam di Pulau Redang, Terengganu dan menemui ikan  kerapu sebesar  manusia dewasa,” kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan  Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood kepada Jurnal.
 Selain ikan kerapu gergasi yang memberikan rezeki lumayan buat  pengusaha restoran dan santapan mewah buat penggemarnya, ikan kerapu  juga menawarkan sumber pendapatan menerusi  kegiatan menternaknya.
 “Permintaan semasa terhadap kerapu adalah sebanyak 20,000 tan metrik  setahun dan terdapat peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus dari  tahun ke tahun. Harga jualan ikan kerapu hidup  adalah antara RM45  hingga RM55 sekilogram.
 Jutawan
 “Justeru, kerajaan amat menggalakkan penglibatan rakyat dalam penternakan ikan kerapu,” ujar Sabki. 
 Menurut beliau, kini terdapat 3,566 penternak ikan kerapu di negara ini merangkumi orang perseorangan, syarikat dan persatuan.
 Tiga spesies ikan kerapu yang popular diternak di negara ini ialah kerapu harimau, kerapu kertang dan kerapu hijau.
 Terdapat dua kaedah popular penternakan iaitu sistem sangkar dan sistem kolam.
 Bagaimanapun, kata Sabki, penternakan ini masih memerlukan kos  pelaburan yang tinggi. Kerja menetaskan telur ikan ini agak rumit dan  memerlukan kemahiran.
 Tambahan pula, kadar survival ikan itu yang selamat menetas dan  membesar sehingga bersaiz 2.5 sentimeter (sm) hanya lima peratus.
  Maka, jelas beliau, untuk kemudahan, orang ramai yang berminat  menternak ikan kerapu boleh mendapatkan ikan kerapu kecil yang telah  menjalani proses penentasan di pusat-pusat penetasan  ikan  jabatan itu  seperti  di Pulau Sayak, Kedah, Gelang Patah, Johor dan Tanjung Demong,  Terengganu.
 |  
 | 
| JOHARI memberi ikan makan  di  kawasan kolam penternakan ikan siakap dan kerapu di Laguna Gong Batu, Setiu, Terengganu.  
 | 
   “Individu yang berminat untuk menternak ikan ini dinasihatkan untuk menternaknya ketika saiznya melebihi 12 sm. 
 “Ikan ini agak sukar untuk diternak jika  dibandingkan dengan ikan  marin lain seperti siakap kerana ikan kerapu bukan ikan yang aktif. 
 “Ia ikan pemalu, sensitif dan kalau di lautan ia suka duduk di dasar  laut. Kena ada kesabaran dan kemahiran yang tinggi untuk menternaknya,”  kata  Sabki.
 Sememangnya ikan kerapu mampu menjana pendapatan yang besar kepada  penternaknya. Ia bahkan mampu membuat penternaknya bergelar jutawan.
 “Berdasarkan maklumat prestasi, kos input dan harga pasaran semasa,  penternak dapat memperoleh hasil jualan sehingga RM1 juta dengan  menggunakan 50 unit sangkar bersaiz 6x3x3 meter.
  “Pada masa ini dianggarkan lebih 95 peratus daripada ikan kerapu  harimau di Malaysia dieksport secara hidup ke Hong Kong,” tambah Sabki.
 Kawasan ternakan yang berpotensi adalah kawasan daratan yang  mempunyai bekalan air masin, pesisiran pantai dan juga perairan laut. 
 Di Laguna Gong Batu yang terletak di daerah Setiu, Terengganu,  misalnya, ikan kerapu diternak secara besar-besaran sejak beberapa tahun  lalu. 
 Salah seorang penternak di situ ialah  Hasan Chik yang kini berusia  47 tahun. Dia  bekerja sebagai nelayan sejak berusia 14 tahun dan  memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.
 Nelayan
 Hidupnya menjadi lebih sukar apabila tidak boleh turun ke laut ketika  musim tengkujuh yang biasanya bermula sekitar November hingga April. 
 Bagaimanapun, cahaya rezeki keluarga Hasan mula bersinar pada tahun  1996 apabila dia diberikan empat buah sangkar untuk menternak ikan  kerapu di Laguna Gong Batu.
 |  
 | 
| KAR HOOI sudah lapan kali memperoleh kerapu seberat lebih 100 kg.  
 | 
 “Sekarang  saya mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,000 hingga  RM3,000 sebulan,” kata pemilik 30 sangkar ikan ini yang bernaung di  bawah Persatuan Pengusaha Ikan Dalam Sangkar, Laguna Gong Batu.
 Jelasnya, biarpun  tidak terlalu mewah, rezeki yang diraihnya di  kawasan air payau itu kini sudah jauh berbeza berbanding ketika menjadi  nelayan dahulu.
 Timbalan Pengerusi persatuan itu, Johari Awang Besar memberitahu  laguna itu adalah kawasan yang sangat strategik untuk penternakan ikan  payau iaitu kerapu dan siakap.
  
 Persatuan yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu bagi membela dan  menyelaras para penternak itu kini mempunyai kira-kira 60 ahli yang  memiliki sejumlah 1,500 petak sangkar. 
 Namun, cuma kira-kira 20 peratus sangkar digunakan untuk ternakan kerapu manakala selebihnya siakap.
 “Pada masa ini kami mempunyai jadual giliran  untuk menjual ternakan   supaya bekalan yang kami ada boleh dibeli pemborong pada sepanjang  masa,” kata Johari yang turut digelar jutawan kerapu.
SUMBER: KOSMO