Thursday, October 7, 2010

Keburukan lebih banyak daripada manfaat - laman web rangkaian sosial popular sama ada Facebook, Friendster dan Myspace

Keburukan lebih banyak daripada manfaat - laman web rangkaian sosial popular sama ada Facebook, Friendster dan Myspace
2010/10/07/HM

KUALA LUMPUR: Manfaat laman web rangkaian sosial popular sama ada Facebook, Friendster dan Myspace bukan hanya sekadar mengeratkan silaturahim serta bertanya khabar sedangkan keburukan ‘ditawarkan’ lebih banyak.
Pengerusi Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek berkata, antara keburukan menanti ‘penagih’ laman web itu merangkumi membentuk sikap lalai, boleh meruntuhkan rumah tangga termasuk mempengaruhi remaja berzina.

“Rumah Iman kendalian Sidim menempatkan beberapa remaja perempuan yang terjebak dalam gejala zina berpunca daripada Facebook. Mereka terpengaruh dan ghairah dengan kata-kata pujian serta pujaan lelaki menerusi Facebook sehingga membawa perbuatan zina.

“Facebook itu juga menyebabkan berlaku kes perceraian kerana suami atau isteri curang selepas berkenalan dengan kekasih menerusi laman web sosial itu, sekarang ada pula kejadian seorang pelajar dipukul kerana Facebook,” katanya yang dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Harian Metro Isnin lalu mengenai pelajar tingkatan lima sebuah sekolah asrama di Lenggong, Perak yang cedera di mata dan dahi akibat dipukul rakan sekelas selepas dituduh menceroboh laman sosial facebook milik kawannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Aiman Asyraf, 17, dibelasah teruk kerana dikatakan menceroboh akaun Facebook milik rakannya kerana mengetahui kata laluan.

Hanafi berkata, walaupun kejadian itu boleh dianggap terpencil namun ia jelas menunjukkan akibat buruk daripada penggunaan laman web sosial.

“Kalau di jabatan kerajaan atau swasta pula, ketagihan melayari laman web sosial ini menyebabkan produktiviti menurun dan pendapatan bulanan sepatutnya diperoleh daripada bekerja disia-siakan dengan aktiviti melalaikan sebenarnya tidak berkat.

“Facebook baru diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu saja tetapi kesannya menyebabkan kita lalai dan ia boleh menjurus ke arah keghairahan maksiat. Kalau sekadar mahu bertanya khabar atau mengeratkan silaturahim, banyak lagi medium lebih baik boleh digunakan,” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi sebuah kenyataan sebelum ini berkata, kematangan berfikir penting bagi setiap individu yang menggunakan media baru seperti laman web sosial untuk menilai kebaikan dan keburukan setiap aktiviti di alam maya.

“Kewujudan laman web sosial dapat mengeratkan tali silaturahim, mempertemukan sahabat lama terpisah, mengikuti perkembangan aktiviti pemimpin, bertanya khabar dengan cara paling menjimatkan, berbincang, nasihat menasihati, berkongsi pengalaman dan petua serta banyak lagi kebaikan yang mampu dimanfaatkan pengguna laman web rangkaian sosial ini.

“Tetapi tidak dinafikan terdapat penyalahgunaannya oleh segelintir masyarakat. Segelintir pihak menggunakannya sebagai medium meluahkan rasa tidak puas hati dan ia bukan cara terbaik kerana penyalahgunaan laman web sosial tidak dapat menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar ia tidak membawa padah kepada diri dan orang lain.

Sumber: METRO

LAIN-LAIN KES - FACEBOOK


Jerat kenalan Facebook
2010/10/07/HM

KUALA LUMPUR: Tiga beranak, seorang rakannya dan dua anggota polis yang cuba meleraikan satu pergaduhan dibelasah sekumpulan 50 lelaki di sebuah medan selera di Bandar Tun Razak, awal pagi kelmarin.
.
Kejadian dipercayai bermula apabila seorang jurujual, Mohd Farhan Othman, 20, meminta rakannya, Mohd Nazren Akmar Nazlan, 20, menemaninya untuk bertemu seorang wanita yang baru dikenali melalui laman sosial Facebook, kira-kira jam 2 pagi.

MANGSA...Mohd Nazren cedera dibelasah kumpulan samseng.

Mohd Farhan berkata, dia hanya beberapa kali berhubung dengan wanita berkenaan dan tidak pernah bertemu muka atau bercakap di telefon.

“Seperti dijanjikan, saya dan Nazren berjumpa dengan wanita terbabit yang dikenali sebagai Linda berusia 20-an. Saya yang memandu kereta kemudian mengarahkan Linda masuk ke dalam kereta tetapi wanita itu enggan sebaliknya mengajak kami minum di gerai berhampiran.

“Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki diketuai teman lelaki Linda yang bertindak mengepung medan selera berkenaan. Melihat perbuatan itu, Nazren cuba bertanya apa sebenarnya yang berlaku.

“Teman lelaki Linda kemudian menuduh kami menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah kepada teman wanitanya sedangkan saya tidak tahu pun nombor telefon bimbit wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, dia meminta teman lelaki wanita terbabit menunjukkan bukti dan SMS lucah berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka gagal menunjukkan bukti itu sebelum bertindak membelasah Nazren. Saya sempat mengelak sebelum bapa Nazren dan abangnya yang dimaklumkan kemungkinan berlaku pergaduhan tiba sebaik dihubungi,” katanya. Katanya, sebaik bapa Nazren dan abangnya tiba untuk membantu, mereka turut dibelasah kumpulan itu. Kali ini jumlah mereka yang terbabit membelasah mereka bertambah ramai kerana pekerja gerai makan di medan selera itu turut mengambil kesempatan.

“Pada masa sama dua anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan jenayah di kawasan itu cuba masuk campur untuk meleraikan pergaduhan itu sebaliknya mereka turut dibelasah.

“Bagaimanapun, anggota terbabit hanya cedera ringan. Semua lelaki terbabit sempat melarikan diri sebaik sebuah kereta peronda polis muncul untuk memberi bantuan,” katanya.

Sebaik semua lelaki itu melarikan diri, Nazren didapati mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai dihentak dengan objek keras dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dia terpaksa menerima 20 jahitan di kepala manakala ibu jari kakinya hampir hancur manakala abangnya turut dirawat di hospital sama akibat kecederaan di dagu. Bapanya, Farhan dan dua anggota polis pula hanya cedera ringan.

Sementara itu, Mohd Nazren berkata, dia yang ketika itu sudah lemah dibelasah teruk kumpulan terbabit tiba-tiba melihat dua daripada mereka mengambil sebatang besi dan menghentak kepalanya hingga pengsan.

“Apa yang dikesalkan, saya dapat melihat orang awam di sekitar medan selera itu turut membelasah kami, malah ada antara mereka yang memakai ‘apron’ dapur semata-mata untuk menyertai ‘pesta’ berkenaan. Mereka sepatutnya membantu kami, bukannya menyokong kumpulan samseng berkenaan.

“Saya hanya sedar apabila berada di wad kecemasan dengan kepala berlumuran darah dan tidak dapat mengingati apa yang berlaku, saya sedih kerana abang turut dimasukkan ke wad hanya kerana ingin membantu saya,” katanya.

Nazren turut membuat laporan polis di PPUKM kerana tidak berpuas hati dipukul tanpa sebab. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: METRO

4 comments:

fndrocka said...

Fesbukmania! Yg buruk dtgnya dri manusia jugak

9W2URY said...

Agenda musuh Islam dalam menewaskan umat Islam ialah dengan melalaikan umat Islam dan membuatkan umat Islam sibuk hingga lupa Allah. Juga mendekatkan umat Islam dengan benda yg dimurkai Allah, agar tiada lagi rahmat dari Allah kpd umat Islam...

::::.cik itam..:::: said...

2 lh... semlm dah ad satu kes.. pun berpunca dri fcebook.. tgk2 hari ni ad dua kes plak kt metro... adoi yai...
klu y kes cerai berai sal fcebuk ni mmg dah bnyk...

Gen Fujita said...

referring to the attached news, mereka yang menyalahkan facebook hanya kerana masalah yang timbul, sama seperti mereka yang menyalahkan telefon kerana ada panggilan palsu, menyalahkan kereta kerana kemalangan jalan raya, menyalahkan kamera kerana wujud gambar lucah, menyalahkan internet kerana ada porno dan whatever sajalah. kes gaduh, bertumbuk, bercerai-berai, berjimak luar nikah, dah belambak jadi sebelum kewujudan facebook. saya pakai facebook untuk memudahkan berhubung dengan rakan2 dan saudara mara, takde masalah pun. semuanya berbalik kepada diri sendiri.