Monday, October 18, 2010

Remaja licik lindungi kegiatan - Salah Guna Kemudahan Teknologi

Remaja licik lindungi kegiatan


KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu berwaspada dengan gerak-geri anak-anak terutama gadis remaja bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah hina.

Ini kerana, golongan remaja cukup licik menyembunyikan kegiatan nakal termasuk merancang melakukan perbuatan tidak bermoral menerusi kemudahan teknologi terutama komputer di rumah.

Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khaidzir Ismail berkata, pengawasan teliti perlu dilakukan ibu bapa kerana golongan remaja masih lagi mentah dan kurang matang dalam menerokai erti kehidupan sebenar.

“Yang mereka mahukan hanyalah keseronokan dan wang tanpa memikirkan implikasi negatif yang bakal diterima,” katanya mengulas tindakan segelintir remaja perempuan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi menggunakan laman sosial untuk mendapat teman seksual.

Menurutnya, setiap remaja mengalami proses perkembangan seksual seawal umur 13 tahun dan ketika itu keinginan untuk mengetahui mengenai seks akan mula terbit.

Katanya, remaja yang terbabit dalam aktiviti pelacuran dan juga seks bebas ini mungkin mempunyai pengetahuan yang lebih ‘dewasa’ berkaitan perkara itu.

“Zaman yang kian canggih ini, peluang untuk melayari laman web lucah cukup mudah ditambah lagi penjualan video dan filem lucah yang semakin berleluasa menjadi penyumbang ke arah itu.

“Sifat remaja yang sentiasa ingin mencuba mendorong mereka untuk mempraktikkan apa yang dilihat sekali gus mengheret mereka ke kancah hina,” katanya.

Khaidzir berkata, ‘perniagaan’ yang dilakukan dengan cara cukup mudah tanpa perlu keluar bertemu pelanggan sedikit sebanyak menarik minat mereka.

Katanya, laman sosial seperti Facebook adalah jaringan perhubungan yang luas dan bersifat terbuka malah mereka tidak perlu memaparkan maklumat terperinci untuk menarik pelanggan.

Beliau berkata, secara tidak langsung memudahkan remaja untuk melakukan perbuatan nakal dan sekali mereka terbabit sukar untuk meninggalkannya kerana ia akan menimbulkan ketagihan selain keseronokan.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing untuk memantau segala pergerakan dan aktiviti anak mereka.

SUMBER: Harian Metro

1 comments:

9W2URY said...

Teknologi ni baik dan berguna, namus sering disalahguna...