Tahun lalu penyanyi dan pelakon Soo Wincci berjaya mencabar dirinya berpuasa penuh. Ternyata percubaan tahun pertamanya memberi keseronokan pada bekas ratu cantik Malaysia Dunia 2008/2009 ini lebih-lebih lagi apabila peminatnya terutama dikalangan peminat Melayu bertambah. Malah ramai yang memberikan sokongan moral kepadanya.
Seronok berpuasa dan menghargai sokongan peminat, maka tahun ini dia berpuasa lagi. Bezanya tahun ini Wincci mengaku yang dia benar-benar merasai bagaimana berpuasa yang sebenar-benarnya. Kali ini dia bukan saja menahan lapar tetapi perlu kuat semangat dan banyak sabar kerana tahun ini dia menerima kritikan daripada peminat.
“Sudah tujuh hari saya berpuasa. Tapi tahun ini cabarannya ialah sejak Ramadan pertama lagi, saya dikritik peminat. Tahun pertama, ramai peminat hairan dan tertanya-tanya mengapa saya berpuasa?Tapi tahun ini, ramai yang kritik dan marah di Instagram. Mereka kata, saya ni over (melebih-lebih) pula.
“Pada saya, sebagai rakyat Malaysia dan kita hidup 1Malaysia, saya hanya nak sama-sama merasai apa yang dirasai oleh umat Islam. Malah saya gembira kerana ada peminat berbangsa Cina yang sama-sama berpuasa dengan saya. Pengurus saya pun ikut sama berpuasa. Kalau boleh tiap-tiap tahun saya nak berpuasa.
“Bila kena kritik begini, baru saya rasa, oh ini puasa yang sebenar-benarnya. Bukan saja saya menahan lapar tapi saya perlu kuat dari segi mental. Tapi ramai juga peminat yang terus menyokong saya. Saya berterima kasih pada mereka”, dedahnya kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui pada majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan majlis pelancaran Program Terbaik Bulan Syawal, 5 Hari 4 Malam TV9 bertempat di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) di Bukit Kiara, malam tadi.
Walaupun berpuasa, jadual seninya masih padat. Wincci memberitahu dia kini dalam sesi latihan tarian tiang untuk persembahannya di satu konsert anjuran sebuah stesen radio. Konsert tersebut akan berlangsung pada 17 Ogos depan di Bukit Jalil.
“Saya hanya ada kurang sebulan untuk berlatih tarian itu. Saya memang berlatih kaw-kaw bulan ini walaupun saya berpuasa. Semalam sewaktu latihan, ada juga saya rasa macam nak pengsan sebab saya terlalu banyak berlatih aksi berpusing. Tapi nak buat macam mana, saya tiada pilihan. Saya kuatkan diri.
“Sebab tu kalau bersahur, saya makan oat dan kurma. Kalau dulu saya tak bersahur sangat. Tapi tahun ni saya bangun sahur untuk pastikan saya cukup tenaga sepanjang hari”, tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Wincci akan menumpukan aktiviti seninya beberapa bulan di tanah air sebelum kembali ke Taiwan dan terus merakamkan album keduanya. Selain itu, buat pertama kalinya lagu raya ciptaannya sendiri berjudul Salam Aidilfitri bakal diputarkan di stesen-stesen radio tidak lama lagi.
Pada hari raya keenam nanti, Wincci akan muncul dalam program realiti yang diadaptasi melalui programFear Factor berjudul Ada Bran yang akan ditayangkan pada jam 8.30 malam di TV9.
0 comments:
Post a Comment