Cemburu bukan isu remeh
SIFAT cemburu yang melampau sering dikaitkan sebagai punca perbalahan antara suami dan isteri.
Malah, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), cemburu merupakan antara 39 faktor perceraian membabitkan pasangan beragama Islam di negara ini.
Dalam kebanyakan kes, penangan cemburu bukan sahaja mencambah perasaan syak wasangka bahkan turut mengikis rasa percaya antara satu sama lain.
Bermula dengan syak dan cemburu di tahap sederhana, keadaan itu boleh berubah menjadi cemburu melampau apabila sentiasa menganggap pasangan curang berdasarkan pelakuan, cara berkomunikasi atau rutin harian yang dirasakan telah berubah.
“Pada tahap ekstrem, individu yang tidak bijak mengawal perasaan boleh mendapat cemburu morbid iaitu individu tersebut sepanjang masa percaya pasangannya curang.
“Jika tidak diberi bantuan kaunseling, keadaan akan menjadi lebih teruk sehingga menimbulkan pergaduhan, penderaan fizikal serta mental malah boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga dan pembunuhan,” ujar Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Lihanna Borhan.
|
|
Perkahwinan
Menurut beliau, cemburu adalah sifat semula jadi.
“Dalam konteks perkahwinan, cemburu hadir kerana kita berasa kita mempunyai hak ke atas pasangan.
“Itu yang menyebabkan isteri atau suami merasakan dia perlu mengambil tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya. Apabila perkara yang menjadi syak itu benar-benar terjadi, perasaan itu akan menjadi lebih sukar.
“Akibatnya, dek kerana berasa tidak selamat dan takut kehilangan pasangan, isteri atau suami akan lebih was-was dan mudah cemburu dengan perbuatan pasangannya,” katanya.
Kurang bersetuju dengan perumpamaan cemburu tanda sayang, Lihanna menyifatkan cemburu yang positif boleh melahirkan persaingan yang sihat.
Sebaliknya, jika cemburu tidak bertempat, sudah pasti ia akan mencengkam hubungan suami isteri serta keluarga kedua-dua belah pihak.
“Bagi saya banyak lagi cara lain yang lebih romantik dan manis untuk menunjukkan kasih sayang antara suami isteri.
“Untuk membuktikan cinta dan sayang, ia perlu dilakukan dengan indah, bukan dengan sikap mengongkong, meninggikan suara dan saling menuduh.
“Kesannya nanti, hubungan suami isteri mulai retak, anak-anak keliru dan pasti wujud pihak lain yang saling menyebelahi hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar,” katanya.
Kerana itu, cemburu bukan isu remeh dalam kehidupan berumah tangga, malah gara-gara cemburu, perbalahan suami isteri boleh membawa musibah jika dibiarkan berlarutan.
Sungguhpun begitu, Lihanna tidak menolak keperluan sifat cemburu dalam setiap perhubungan.
|
|
Penyebab buta
“Sebagai pasangan, kita masih perlu ambil tahu apa yang mereka lakukan, ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berjumpa.
“Tidak salah jika kita bertanya dengan baik, bukan dengan nada yang penuh curiga. Sering ungkapan kata manis dan kata sayang supaya pasangan sedar tentang tanggungjawab terhadap keluarga dan menjaga batasan pergaulan,” katanya.
Baru-baru ini, dalam satu kajian oleh pakar psikologi di Universiti Delaware, Amerika Syarikat mendapati cemburu boleh menyebabkan masalah penglihatan.
Kumpulan pengkaji tersebut menyimpulkan pandangan wanita yang memiliki api cemburu mudah terganggu disebabkan kecelaruan minda sekali gus sukar untuk fokus kepada apa yang sedang dilihat mahupun dicari.
“Kajian ini ada benarnya. Pernah berlaku di Barat, seorang lelaki yang baru bergelar bapa mendakwa dia buta selepas melihat isterinya menyusukan bayinya yang baru lahir.
“Dia mempunyai masalah penglihatan yang teruk. Selepas beberapa sesi kaunseling, pakar psikologi mendapati lelaki tersebut terlalu cemburu dengan anaknya yang sedang disusukan oleh isterinya.
“Selepas lelaki tersebut dapat mengikis perasaan cemburunya, penglihatannya kembali beransur pulih,” ujar Lihanna.
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN / KOSMO
0 comments:
Post a Comment