KULIM - Pelbagai kaedah digunakan penjenayah untuk melakukan kegiatan curi kereta dan samun terhadap mangsa.
Teknik ini digunakan pada waktu siang terutama di kawasan perindustrian dan bandar.
Bekas Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian dan Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, suspek yang mencuri kereta selalunya akan melekatkan kertas bersaiz A4 di belakang cermin kereta mangsa.
Menurutnya, apabila sukar mengundur kenderaan, mangsa akan keluar dari kereta untuk membuang kertas dan ini memberi peluang kepada suspek untuk masuk dalam kereta sebelum melarikan kenderaan.
Katanya, taktik ini pernah digunakan untuk mencuri kereta di bandar besar yang mana suspek berjaya melarikan kereta mangsa.
“Saya menasihatkan kepada mana-mana pemilik kenderaan supaya jangan mengubah apa-apa kertas yang ditampal pada cermin belakang kereta mereka sebaliknya cuba mengundur kenderaan perlahan-lahan dan keluar dari tempat letak kereta.
"Apabila tiba di rumah, barulah buang. Ini adalah kerana ada penjenayah yang mengekori mangsanya dan menunggu masa ia berhenti untuk membuang kertas itu,” katanya.
Selain itu, Eng Khim turut menasihatkan pemandu supaya tidak mudah percaya sekiranya orang tidak dikenali mengetuk cermin dan memberitahu terdapat sejumlah wang pada bahagian tayar belakang kereta mereka.
Katanya, pemandu selalunya akan melihat cermin sisi untuk melihat duit dimaksudkan sebelum bertindak keluar dari kereta. Sebaik sahaja membuka pintu, suspek akan meluru ke arah pintu dan melakukan samun terhadap mangsa.
“Jangan mudah percaya dengan taktik yang digunakan penjenayah. Semua ini dilakukan untuk memastikan mangsa keluar dari kereta. Sehingga kini kes seumpama itu berlaku bagaimanapun ia belum dilaporkan terjadi di Kulim,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pemandu diminta mematikan enjin kenderaan mereka sebelum membayar duit untuk mengisi minyak di kaunter pembayaran.
Menurutnya, ada penjenayah yang mengekori kenderaan di pandu mangsa sehingga ke stesen minyak.
“Apabila mendapati enjin tidak dimatikan dan mangsa keluar dari kenderaan untuk membayar duit di kaunter, suspek akan masuk ke dalam kereta dan melarikannya.
"Kejadian ini berlaku yang mana ia berpunca dari kelalaian pemandu itu sendiri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment