Sunday, April 3, 2011

8 Sikap Lelaki Yang Perlu Diubah


8 Sikap Lelaki Yang Perlu Diubah

8 Sikap Lelaki Yang Perlu Diubah Dalam sesuatu perhubungan, terdapat banyak kelemahan baik si lelaki mahupun wanita. Si lelaki seringkali tidak menyedari akan kelemahannya sehingga mampu meninggalkan impak yang negatif dalam suatu perhubungan.

Tidak terfikirkah anda untuk memperbaiki kesilapan anda dengan mengubahnya atau sekurang-kurangnya mencuba untuk mengurangkannya? Mari kita lihat apakah lapan sikap lelaki yang perlu diubah.

1 ) Terlalu Mementingkan Kawan-Kawan

Wanita selalu makan hati apabila lelaki lebih mementingkan kawan-kawan mereka. Demi bertemu kawan-kawan untuk melakukan aktiviti bersama ataupun hanya melepak, lelaki sanggup mungkir janji untuk bertemu. Jika sesekali, mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah namun apa pula jadinya jika ia sehingga menjejaskan masa bersama si dia? Selain itu, wanita turut terasa apabila lelaki lebih senang bercerita sebarang perkara atau masalah dengan kawan-kawan. Alasannya kawan-kawan lebih sesuai untuk dikongsikan cerita itu tidak boleh digunakan lagi. Bukankah lelaki yang membuat pilihan untuk bersama si dia jadi mengapa harus timbul rasa tidak percaya?

2 ) Tidak Tahu Menghargai

Kenapalah ramai sangat lelaki yang tidak pandai untuk menghargai wanita? Bukannya mereka tidak sedar tapi memilih untuk buat tidak tahu saja. Wanita akan berasa sangat gembira jika lelaki tahu menghargai apa yang telah mereka lakukan. Namun bukan maksudnya wanita inginkan balasan, cukup dengan ucapan terima kasih. Tidak salah jika memuji atau memberikan hadiah mengikut kemampuan.

3 ) Kaki Putar Belit

Wanita akan mula hilang sabar apabila lelaki mula menunjukkan sikap putar belit alamnya. Apalah salahnya jika mengaku sahaja kesalahan yang telah dilakukan dan tidak perlu putar belit cerita. Wanita tidak perlukan lelaki seperti ini yang hanya tahu untuk melepaskan diri saja. Sesetengah lelaki sanggup melakukan apa saja asalkan wanita percaya sekali gus melupakan kesilapan yang telah dilakukan. Setiap wanita sukakan lelaki yang bersikap jujur dan adakah ia terlalu sukar untuk diamalkan?

4 ) Jejaka Perasan

Bagi wanita, untuk nampak hebat dan berketrampilan, lelaki hanya perlu menjadi diri mereka sendiri dan tak perlu dibuat-buat kerana hanya wanita saja yang boleh membuat penilaian tepat terhadap lelaki. Apalah gunanya jika seseorang lelaki itu merasakan diri mereka macho sedangkan pada mata wanita, mereka tidaklah sebegitu.

5 ) Kurang Mengambil Berat

Kenapalah lelaki suka bersikap sambil lewa dan tidak fokus dengan apa yang dilakukan? Namun apabila bercakap tentang diri sendiri, mereka buat bersungguh-sungguh. Bagaimana pula dengan pasangan? Wanita juga memerlukan perhatian daripada lelaki. Tidak perlu jaga dari segala sudut namun memadailah jika tahu untuk mengambil berat. Mungkin lelaki merasakan wanita zaman sekarang sudah pandai berdikari namun wanita tidak dapat lari dari sifat ingin dibelai dan dimanja.

6 ) Gemar ‘Cuci Mata’

Ini satu lagi sikap lelaki yang sering kali membuatkan wanita sakit hati. Perlukah lelaki memandang wanita lain sedangkan pasangan ada di sebelah? Pantang ada yang berdahi licin dan seksi, mulalah biji mata melilau tidak tentu arah. Namun jika wanita melakukan perkara yang sama, pandai pula lelaki naik angin. Wanita sama saja seperti lelaki, mahukan pasangan yang benar-benar mahukan mereka dan tidak memandang yang lain.

7 ) Main Kayu Tiga

Rasanya tidak perlu diberitahu lagi berapa banyak perhubungan yang putus dek masalah yang satu ini. Wanita boleh bersabar dalam banyak perkara namun jika lelaki mula bermain kayu tiga, jawabnya wanita akan angkat kaki. Wanita akan berasa dipermainkan apabila lelaki mencari wanita lain sekali gus curang terhadap hubungan. Wanita mahu lelaki menjadi seperti apa yang sering mereka ucapkan iaitu akan setia untuk selama-lamanya.


8 ) Panas Baran

Wanita akan merasakan mereka bernasib malang jika bertemu dengan pasangan yang panas baran. Lelaki seperti ini hanya tahu menganiaya wanita dan pantang ada yang silap. Walaupun salah sendiri namun mereka tidak akan mengaku bahkan menuduh pula orang lain. Mungkin wanita masih boleh bersabar jika kata-kata kurang menyenangkan dihamburkan tapi tidak jika disepak terajang. Bukankah lebih macho jika lelaki seperti ini bertemu dengan lawan yang sepadan. Jadi lelaki, usah jadi kategori ini kerana anda pasti akan amat dibenci oleh semua wanita seluruh dunia.

0 comments:

Blogged.my