Monday, December 30, 2013

Benarkah Minyak Yu Yee Cap Limau ada Lemak Babi?

Benarkah minyak Minyak Yu Yee Cap Limau ada Lemak Babi?
Banyak soalan mengenai status Minyak Yu Yee yang tersebar di Facebook.
Soalan dari Puan Normah,
Sebenarnya saya ada persoalan @ kemusykilan tentang penggunaan Minyak Yu Yee Cap Limau (yg biasa di gunakan oleh bayi untuk elakkan kembung perut). Semasa saya bersalin dulu ada seorang Ustazah memberitahu saya yang minyak yu yee berkenaan mengandungi air kencing babi. Jika di sapu lama -kelamaan ada meninggalkan bau yang tidak menyenangkan umpama bau hancing (air kencing). Pada pendapat En.Rahman adakah benar minyak tersebut memang benar-benar mengandungi unsur-unsur haram tersebut. Harap penjelasan yang diberikan memberi kesedaran kepada saya yang pernah menggunakan minyaktersebut.
Terima Kasih kerana membantu.
Normah.

Soalan dari Puan Nora,
Salam En Rahman,
Maaf terlebih dahulu kalau pertanyaan saya bukan dalam senarai blog tuan. Saya sudah pertanyakan kepada R&D MAIS tapi disuruh pulak tel JAIS. Malas dah nak tel kerajaan nanti di suruh pulak telefon tempat lain (naik angin saya).
Persoalannya adakah minyak YUYI CAP LIMAU tu HALAL..ada orang kata ia bercampur dengan minyak babi
Kalau ada jawapan dari pihak En Rahman Alhamdullih, kalau tak ada taka pa.
Best Regards:
Nora A.H
Jawapan:
Ramai ibu-bapa di Malaysia menggunakan Minyak Yu Yee @ Yuyi Cap Limau untuk melegakan atau mencegah kembung perut pada bayi mereka. Malah, ada juga orang dewasa yang menggunakan minyak Yu Yee untuk merawat pening, kembung dan sebagainya.
Sejak tahun 2011, terdapat beberapa versi cerita yang mendakwa Minyak Yu Yee Cap Limau mengandungi unsur babi disebarkan melalui Facebook dan juga email. Tetapi masih belum ada bukti sahih membuktikan Minyak Yu Yee mengandungi unsur babi.
Beberapa pertanyaan telah diajukan kepada Pihak JAKIM dan antara  jawapannya ialah:
“ Oleh kerana Jakim belum lagi menjalankan ujian kimia ke atas produk ini untuk menentukan status kehalalannya, maka terpulanglah kepada saudara samada  terus menggunakan produk tersebut atau sebaliknya. Pada pandangan panel , sekiranya kita tidak menggunakan minyak yu yeepun tidak menjadi masalah kerana  masih banyak minyak angin jenama lain  yang ada di dalam pasaran yang boleh kita gunakan tanpa was-was.”
Minyak Yu Yee Cap Limau ataupun Yu Yee Oil Cap Limau Liniment merupakan produk tradisional yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1999. Dikilangkan oleh Syarikat Weng Seng Medical Factory Sdn Bhd, Paya Terubong, Pulau Pinang Malaysia.
EKSKLUSIF!
Untuk menjawap pertuduhan ini, pihak Syarikat Weng Seng Heng Medical telah mengantar Produk Minyak Yu Yee Cap Limau untuk diuji di 2 makmal berbeza.
Ujian pengesanan unsur babi menggunakan teknik Real Time PCR. Keputusan Negatif.
Ujian pengesanan minyak haiwan termasuk lemak babi (Lard). Keputusan, tiada unsur haiwan dikesan.
Mengikut peraturan pendaftaran produk farmaseutikal (DRGD) di Malaysia, setiap Syarikat wajib mengisytiharkan jika produk mereka mengandungi unsur haiwan dan meletakkan label yang menyatakan produk mengandungi unsur haiwan sama ada lembu, babi ataupun haiwan lain.
Semoga dengan dua ujian makmal ini dapat memberi kelegaan kepada pengguna muslim yang selama ini menggunakan Minyak Yu Yee Cap Limau.

Mengharamkan Yang Halal dan Menyebarkan Fitnah
Prinsip Islam berkenaan halal dan haram menekankan bahawa halal dan haram adalah hak Allah s.w.t. dan perbuatan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram sama dengan syirik kepada Allah s.w.t
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”
Al Maa’idah : 87
Islam menekankan supaya kita menyelidik, berfikir dan memastikan kebenaran sesuatu maklumat supaya tidak terperangkap dengan berita palsu atau maklumat berunsurkan fitnah.
Wajib bagi kita untuk memperhalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsurkan fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita yang tidak benar.
“Sesungguhnya Allah s.w.t Lebih Mengetahui”
Terima kasih,
Abd Rahman
Sumber: halalscience.com