Permulaan Era Baru Untuk Bola Sepak Malaysia
  Oleh Ahmad Fuad Yahya
JAKARTA, 30 Dis (Bernama) --  Kejayaan Malaysia merebut Piala AFF Suzuki  2010 bukan sekadar menamatkan penantian 14 tahun untuk unggul sebagai  pasukan terbaik di Asia Tenggara, malah sekaligus merupakan permulaan  era baru bola sepak Malaysia sejak zaman kegemilangannya 20 tahun lalu.
Ia juga membuktikan bahawa pasukan Malaysia bukan sahaja jaguh di  gelanggang sendiri malah di gelanggang lawan yang dipenuhi dengan  puluhan ribu penyokong.
Apa yang diharapkan para penyokong ialah pasukan bola sepak Malaysia  akan terus mengekalkan prestasinya di peringkat antarabangsa dan  menambahkan gelaran juara di peringkat antarabangsa.
"Ini adalah permulaan era baru. Sebelum ini semua orang berkata bola  sepak Malaysia sedang menjunam-menjunam. Sekarang apa yang dikehendaki  oleh penyokong-penyokong akhirnya menjadi kenyataan," demikian reaksi  spontan presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus  sejurus selepas menonton perlawanan akhir kedua itu di Dewan Serbaguna  Kedutaan Besar Malaysia di sini Rabu malam.
Beliau, yang mengetuai rombongan kumpulan penyokong Malaysia ke sini  telah memutuskan menonton di layar besar di kedutaan besar itu sebagai  protes terhadap tempat duduk yang diperuntukkan kepada mereka oleh  Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan atas faktor  keselamatan.
Beliau berkata, para penyokong bola sepak Malaysia berkata kejayaan ini  akan menjadi penanda aras kepada pemain-pemain muda dan menjadikannya  sebagai pembakar semangat kenapa mereka juga tidak boleh berjaya  sebagaimana pasukan Malaysia ini.
"Kita mengharapkan peningkatan ini berterusan, penyokong yang dah ada tu  kita boleh bertahan, kalau lepas ini prestasi mereka merosot, macam  mana mereka nak kekalkan sokongan ini," katanya.
Oleh itu bila ada pertandingan lain di peringkat antarabangsa selepas  ini, pasukan Malaysia mesti terus mengekalkan kemenangan agar sokongan  para penyokong akan berkekalan.
"Harapan penyokong, selepas ini ada Sukan SEA, buktikan bahawa kejayaan  ini bukan nasib semata-mata, Sukan SEA nanti di Jakarta juga," katanya.
-- BERNAMA
 

 
 
 
 
 
 



 
 Posts
Posts
 
 
1 comments:
selepas nie kne lebih confidence..pedulikan kata2 org luar..
Dextrous cyber life
Post a Comment