Thursday, December 30, 2010

Malaysia Juarai Piala AFF Suzuki Untuk Tamatkan Penantian 14 tahun

Malaysia Juarai Piala AFF Suzuki Untuk Tamatkan Penantian 14 tahun

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Malaysia menamatkan penantian selama 14 tahun selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia Rabu malam.

Gol Malaysia hasil jaringan pemain negara Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-53 terus menjadi tamparan hebat kepada ribuan penyokong berbaju merah yang memenuhi stadium itu.

Pada 26 Dis lepas, skuad anak buah K. Rajagobal membawa bekal selesa iaitu 3-0 apabila menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali melangkah ke final iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger pada 1996.

Namun, pada final tersebut, Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand sekaligus menjadikan skuad negara belum pernah merasai nikmat menjuarai kejohanan peringkat senior di Asia Tenggara itu.

Pada enam edisi berikutnya, Malaysia tewas empat kali di separuh akhir kepada Thailand (2000), Indonesia (2002, 2004) dan Singapura (2007) serta dua kali kandas di peringkat kumpulan (1998, 2008).

Selain Piala AFF Suzuki, pemain Malaysia Mohd Safee turut meraih gelaran penjaring terbanyak sepanjang kejohanan itu dengan lima gol.

Bermain di depan hampir 70,000 penyokong lawan, Malaysia dan Indonesia memulakan perlawanan secara berhati-hati dengan masing-masing melakukan percubaan untuk menguji gawang lawan.

Gawang Malaysia yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat diuji pasukan tuan rumah apabila pengadil Peter Daniel Green dari Australia, menghadiahkan sepakan penalti kepada Indonesia, selepas bola terkena tangan Mohd Sabre Mat Abu dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, ketua pasukan Indonesia Firman Utina yang ditugaskan mengambil sepakan penalti berkenaan, hampa apabila sepakan leret beliau ditangkap kemas Khairul Fahmi.

Separuh masa pertama berlalu tanpa sebarang jaringan gol, walaupun kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan menarik dan mendebarkan bagi mencari gol pendahulu.

Selepas rehat, kesempatan terbaik Malaysia membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-53 melalui rembatan kencang Mohd Safee, yang menerima umpanan daripada Norshahrul Idlan Talaha.

Tertekan dengan kedudukan itu, Indonesia melancarkan serangan bertali arus ke gawang Malaysia.

Pasukan "Garuda" memperoleh gol penyamaan selepas Mohammad Nasuha mengambil kesempatan bola rembatan Ahmad Bustomi, yang ditepis keluar Khairul Fahmi.

Suasana semakin tertekan bagi kedua-dua pasukan, bagaimanapun, pada minit ke-87, pemain Indonesia mendapat gol sagu hati apabila Mohamad Muslim Ahmad tertanduk masuk bola yang cuba diselamatkan daripada kekalutan di depan pintu gol Malaysia.

-- BERNAMA

0 comments:

Blogged.my