Saturday, December 18, 2010

Assange bimbang diekstradisi ke AS

Assange bimbang diekstradisi ke AS


JULIAN ASSANGE menunjukkan dokumen mahkamah semasa dia muncul di depan sekumpulan pemberita selepas dibebaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Tinggi di London kelmarin.


LONDON - Pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange kelmarin menyatakan dia pernah mendengar khabar angin bahawa dirinya dituduh sebagai seorang pengintip oleh Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas dia dibebaskan dengan ikat jamin oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini selepas ditahan pada 7 Disember lalu atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita.

Assange kini menjadi amat popular selepas laman webnya itu menimbulkan kemarahan AS kerana ia mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik AS yang mengandungi maklumat sulit.

Ia mendedahkan pandangan-pandangan diplomat AS mengenai isu-isu global dan pemimpin-pemimpin dunia.

Dia yang ditemui di sebuah rumah agam rakannya di Suffolk juga menyatakan kebimbangannya bahawa prosiding ekstradisinya ke Sweden merupakan satu helah untuk membawanya ke AS.

Assange membuat dakwaan itu kerana prosiding perbicaraan itu berlaku dalam cara yang pelik.

Peguam pengasas WikiLeaks itu, Mark Stephens sebelum ini pernah mendakwa satu jemaah juri rahsia telah dibentuk di Virginia untuk mengemukakan tuduhan-tuduhan yang boleh dikenakan terhadap Assange.

"Saya tidak takut untuk diekstradisi ke Sweden. Saya lebih bimbang jika diekstradisi ke AS," kata Assange.

Para peguam berpendapat, tindakan mengekstradisi Assange ke Sweden adalah bermotifkan politik.

Namun, para pendakwa raya Sweden menyatakan permintaan ekstradisi itu tiada kena mengena dengan WikiLeaks.

Assange yang bercakap kepada para penyokongnya di luar mahkamah berikrar akan terus mendedahkan maklumat rahsia.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 200,000 pound (RM978,477) dengan syarat yang ketat.

"Adalah sesuatu yang hebat untuk menghidu udara bersih di London semula," kata Assange yang dikerumuni sekumpulan jurugambar yang mahu merakamkan gambarnya. - Agensi

0 comments: