Sunday, February 20, 2011

Jari kaki palsu tertua di dunia ditemui & Telefon bimbit mampu kesan nadi

Jari kaki palsu tertua di dunia ditemui

KAHERAH - Ibu jari kaki yang ditemui pada mumia purba Mesir dipercayai anggota badan palsu terawal di dunia yang berfungsi dengan baik, menurut satu kajian.

Jari palsu diperbuat daripada kayu dan kulit haiwan itu yang ditempatkan di Muzium Mesir, Kaherah digunakan pada zaman purba bagi membantu individu tanpa ibu jari kaki untuk berjalan secara normal.

Ibu jari kaki itu dipercayai berasal dari tahun 600 Sebelum Masihi, menjadikannya anggota badan palsu tertua yang pernah ditemui.

Menurut penyelidik Universiti Manchester di Britain, Jacky Finch, replika ibu jari palsu itu diuji terhadap dua individu yang tidak mempunyai jari kaki dan didapati berfungsi dengan baik.

"Anggota badan palsu itu dapat menahan tekanan daripada badan dan tidak pecah apabila digunakan," katanya.

Telefon bimbit mampu kesan nadi

BARCELONA - Anda mungkin mempunyai sebab untuk bimbang jika anda mendapat panggilan di telefon bimbit berbunyi "Tuan, ambulans dalam perjalanan".

Kerana itulah pesanan paling buruk yang anda akan dapat jika membeli sebuah telefon bimbit EPI Life yang dipasang khas dengan alat pengesan degupan jantung mini.

Telefon bimbit baru yang dicipta oleh sebuah syarikat di Singapura itu mengesan denyutan nadi apabila pengguna memicit butang penerima khas dan maklumat kesihatan akan dihantar terus kepada pusat kesihatan yang beroperasi 24 jam.

Ketua perubatan EPI, Chow U-Jin berkata, penciptaan telefon baru ini adalah revolusi dunia perubatan yang mempunyai kepentingan dari segi kesihatan.

"Anda boleh menggunakannya sebagai telefon biasa tetapi pada masa sama ia juga boleh digunakan sebagai pengesan degupan jantung," katanya di persidangan industri telefon bimbit di Barcelona.

Lebih 2,000 unit telefon bernilai AS$700 (RM2,100) telah berada di pasaran sejak tahun lalu dan disasarkan kepada pengguna yang menghidap masalah jantung.

Sumber: SINAR

0 comments:

Blogged.my