Monday, August 18, 2014

Khalid hampir pasti hilang jawatan MB



SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hampir pasti hilang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor berikutan sokongan majoriti Adun negeri itu kini memihak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, calon yang mendapat sokongan majoriti dalam Dun akan menjadi menteri besar.

Dalam situasi itu, beliau berpendapat, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akan melihat kepada sokongan majoriti Dun.

“Sama ada Dr Wan Azizah akan diperkenan oleh Sultan Selangor, itu terpulang kepada baginda. Namun, Dr Wan Azizah sudah mendapat sokongan majoriti lebih dua pertiga Dun seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Malah, nama yang dicadangkan PR juga cuma satu. Melainkan PR meletakkan beberapa nama lain, barulah baginda (kemungkinan) memilih (calon lain),” katanya.

Semalam, PR bersetuju sebulat suara untuk mencadangkan Dr Wan Azizah sebagai satu-satunya calon bagi menggantikan Abdul Khalid selepas Pas mengumumkan pendirian akhir mereka.

Sokongan tersebut sekali gus menjadikan Abdul Khalid yang kini ahli parti Bebas hanya bergantung kepada sokongan 12 Adun Umno, berbanding 43 Adun PR.

Namun, Mohd Azizuddin berkata, Abdul Khalid masih mempunyai hak sebagai menteri besar untuk menasihati Sultan Selangor membubarkan Dun.

“Tetapi, ia masih tertakluk kepada perkenan baginda. Dalam keadaan sekarang, saya tidak melihat pembubaran Dun dan mengadakan pilihan raya negeri merupakan pilihan terbaik kerana sudah ada calon menteri besar yang dapat sokongan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN