Teknologi dekatkan pemimpin dengan rakyat
 Oleh ROSMALINA ABD. KADIR 
 
 
  LAMAN interaktif sosial Twitter kini semakin hangat menjadi pilihan  pengguna apabila selain selebriti, para pemimpin dilihat menggunakannya  sebagai medan perdebatan pelbagai isu secara langsung dengan rakyat  termasuk mengumpul sebanyak mungkin pengikut.
 Mendahului para pemimpin negara Asia, Perdana Menteri Malaysia, Datuk  Seri Mohd. Najib Tun Razak menjadi peneraju yang kini mengumpul hampir  70,000 pengikut, tidak termasuk pengikut beliau di laman interaktif  Facebook.
 Laman #tanyanajib kini begitu meriah apabila dihujani ribuan soalan  dan pendapat yang serius dan kelakar daripada pelbagai lapisan  masyarakat. Daripada persoalan mengenai isu-isu dunia, negara,  pendidikan dan sosial, soalan berunsur peribadi turut diajukan.
 Populariti yang diraih Najib juga dirasai beberapa ahli politik dalam  negara yang turut membuka akaun Twitter untuk menyampaikan ideologi  mereka antaranya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Lim  Kit Siang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Khairy Jamaluddin.
 Pensyarah Jabatan Komunikasi dan Media, Kolej Antarabangsa INTI  Subang, Mohd. Khairul Irwan Mansor berpendapat, para mahasiswa  universiti harus memanfaatkan peluang berinteraksi secara langsung  dengan perdana menteri dan pemimpin lain bagi menyampaikan idea dan  pandangan mereka.
 
RAKYAT Malaysia kini bebas berinteraksi secara langsung dengan pemimpin-pemimpin negara melalui Twitter. - Gambar hiasan 
  “Para pelajar dapat menyuarakan pelbagai isu membabitkan remaja dan  belia serta membincangkan masalah-masalah dalam pendidikan, sosial dan  sebagainya.
 “Tidak semestinya perlu suarakan pandangan mereka berkaitan isu  politik, sebaliknya perkara-perkara yang dekat dengan diri mereka,”  katanya.
 Perkembangan
 Pegawai Perhubungan Awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM), Maizatul Akmal Yahaya pula menggalakkan lebih ramai rakyat  melihat perkembangan laman Twitter pemimpin bagi mengetahui perkembangan  terkini dalam negara dengan lebih pantas berbanding media tradisional.
 “Saya sering mengikuti perkembangan laman Twitter perdana menteri dan  saya lihat beliau sering menghantar maklumat mengenai inisiatif terbaru  yang diambil kerajaan termasuk perkembangan aktiviti hariannya.
 “Contohnya, baru-baru ini beliau mengumumkan pelancaran Dana Belia bernilai RM20 juta di laman Twitter beliau,” katanya.
 Tambahnya, kewujudan laman Twitter pemimpin menunjukkan mereka serius  dengan komitmen mendekati rakyat secara langsung tanpa pihak ketiga.
 “Perdana Menteri juga menjawab soalan-soalan remeh mengenai kehidupan  peribadi beliau sama ada di Twitter, Facebook atau YouTube,” katanya.
 Jurutera Darco Industrial Water Sdn. Bhd., Md. Jazli Md. Johari  bagaimanapun meragui kesemua komen-komen, idea dan pandangan pengikut  laman Twitter para pemimpin negara sempat dibaca sepenuhnya oleh para  pemimpin berkenaan.
 “Saya yakin ribuan pandangan dikemukakan masyarakat setiap hari  tetapi tidak semuanya akan mendapat perhatian serius. Bayangkan berapa  ribu komen baru yang masuk setiap hari ke dalam laman Twitter berkenaan.
 “Adakah pemimpin mempunyai masa untuk meneliti kesemua pandangan masyarakat yang diajukan,” katanya.
 Sementara itu, di laman Twitter  Najib, beliau memberitahu seronok  membaca soalan kreatif rakyat dan menyediakan jawapan kepada beberapa  soalan menerusi video di laman YouTube.
 |  
 | 
| Selain media massa, segala aktiviti Najib juga dapat diikuti melalui Twitter.  
 | 
 Beliau juga berkata akan cuba untuk menjawab soalan-soalan yang  diajukan serta meminta diberikan masa untuk meneliti soalan-soalan  tersebut.
 Salah satu soalan yang dijawab di laman YouTube ialah soalan oleh  pemilik akaun Twitter, Danial Fahmi mengenai perancangan perkembangan  belia di Malaysia bagi membanteras masalah sosial secara berterusan.
 Dalam pada itu, pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Abdul  Amir Abdul Malik, 19, berkata dia pernah menyampaikan ucapan tahniah  kepada perdana menteri melalui laman Twitter #tanyanajib kerana  menjadikan Twitter sebagai medium untuk mendekati rakyat.
 “Bagi saya ia adalah perkara yang hebat apabila pemimpin negara  mempunyai akaun Twitter. Najib ialah perdana menteri pertama di Asia  yang mempunyai akaun Twitter.
 “Kini, pelajar juga dapat berhubung dengan pemimpin tanpa melalui prosedur yang ketat,” katanya.
 Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohamad Izwan Ismail,  24, pula berasa hairan apabila perdana menteri mempunyai masa untuk  melayani soalan-soalan di Twitter.
 “Tetapi saya lihat ada banyak perkara yang sebelum ini tidak  diketahui masyarakat diperoleh di sini, contohnya aktiviti-aktiviti dan  pelan-pelan yang dijalankan perdana menteri.
 “Tetapi saya yakin beliau ada pembantu yang memantau perjalanan laman Twitter itu,” katanya.
 Terdedah serangan penggodam
 Pakar Teknologi Maklumat, Kavitha Muthy pula berkata, Twitter  merupakan trend terkini para ahli politik bagi menyebarkan ideologi  mereka tetapi ia adalah kaedah berkesan dan pantas untuk maklumat sampai  dengan cepat kepada rakyat.
 “Selain perdana menteri, pemimpin-pemimpin lain dalam negara dilihat  mula menggunakan Twitter untuk mendekati masyarakat sejak tahun 2009  lagi.
 
PEMIMPIN kini semakin celik  teknologi maklumat  dalam memastikan aspirasi dan perjuangan mereka  turut dapat diserap rakyat terutama golongan muda. 
  “Ia adalah perkara baru selepas Facebook. Tetapi masyarakat harus  menilai sama ada ia adalah laman sebenar pemimpin berkenaan atau laman  palsu kerana ada beberapa akaun Twitter kini menyamar sebagai pemimpin  negara termasuk perdana menteri,” katanya.
 Katanya lagi, aspek keselamatan adalah perkara penting yang perlu  diambil serius kerana medium Internet terdedah dengan ancaman penggodam  yang dapat memanipulasi maklumat yang disampaikan.
 “Di Amerika Syarikat, Barrack Obama juga menggunakan Twitter tetapi  laman Twitter beliau juga pernah digodam oleh individu yang tidak  bertanggungjawab.
 “Oleh itu, penting bagi memastikan keselamatan akaun Twitter  masing-masing lebih-lebih lagi pemimpin yang mempunyai ramai pengikut  dan musuh,” katanya.
Sumber: KOSMO