Friday, November 19, 2010

Peroleh RM405,599 jual bingkai iPhone putih

Peroleh RM405,599 jual bingkai iPhone putih


LAMAN web Fei Lam yang menjual bingkai iPhone 4 berwarna putih.


NEW YORK – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, Fei Lam berjaya memperoleh sebanyak AS$130,000 (RM405,599) dengan hanya menjual bingkai telefon pintar iPhone 4 berwarna putih yang dibelinya daripada pembekal di China, lapor sebuah akhbar semalam.

Sejak Apple mengumumkan ia akan memperkenalkan iPhone 4 berwarna putih, bingkai gajet itu kini menjadi rebutan di seluruh dunia.

Ramai pengguna mahu membeli bingkai itu bagi menukar telefon iPhone 4 yang berwarna hitam kepada yang berwarna putih.

Remaja dari New York itu menjual bingkai telefon tersebut pada harga AS$279 (RM870) sebuah di laman webnya, whiteiphonefournow.com.

Lam yang fasih berbahasa Cina dikatakan berjaya berhubung dengan pembekal Apple di China, Foxconn, untuk mendapatkan bingkai itu.

Melalui rakan-rakannya di China, Lam membeli bingkai iPhone berwarna putih itu secara terus dari kilang sebelum menjualnya kepada pengguna iPhone yang mahu menaik taraf telefon masing-masing.

“Saya kenal seorang lelaki sejak beberapa tahun lalu yang mempunyai hubungan dengan individu di Foxconn.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana sudah berbulan-bulan saya mencari idea untuk memulakan perniagaan dan membayar yuran pengajian,” kata Lam kepada akhbar New York Observer.

Publisiti daripada beberapa laman web teknologi terkenal seperti TechCrunch dan CNET membuatkan jualannya meningkat mendadak.

Namun, Lam berkata, seorang penyiasat persendirian telah menghubunginya bagi meminta dia tidak menjual bingkai telefon pintar itu.

Dia percaya, penyiasat itu bekerja untuk syarikat Apple yang akan mengeluarkan iPhone 4 berwarna putih.

Pada bulan lalu, pengeluar iPhone 4, Apple Inc. mengumumkan ia sekali lagi akan menangguhkan pengeluaran iPhone 4 berwarna putih sehingga tahun depan.

Sehingga kini, Apple tidak pernah menyatakan punca sebenar kenapa iPhone 4 berwarna putih begitu sukar untuk dihasilkan. – Agensi

Sumber: KOSMO

0 comments:

Blogged.my